Thursday, July 2, 2009

Ke Manakah Wang Membawa Aku Pergi?


Memiliki wang yang banyak adalah sebahagian daripada impian hidup kita. Dengan wang setinggi gunung, keinginan hati boleh dipenuhi. Kelmarin beli kereta baru, hari ini beli rumah baru dan esok pula beli tanah berekar-ekar. Setiap hari ada saja yang baru.

Hidup menjadi seronok apabila segala-galanya baru apatah lagi melihat wang yang masih bertimbun-timbun membuat hati memberontak untuk menawan lebih banyak perkara dan benda baru. Pendek kata, wang mempunyai aura yang kuat dan luarbiasa kerana dengannya kita menikmati hidup senang, betul?

Namun hakikatnya, wang itu juga rapuh! Wang kadangkala gagal menampung beban sesuatu masalah kerana WANG BUKANLAH PINTU KELUAR BAGI KEBANYAKAN MASALAH YANG DATANG BERKUNJUNG. Seringkali wang tidak mampu memujuk masalah itu pergi melalui pintu yang terbentang luas kerana ia berhajat untuk bermalam beberapa waktu lagi.
Tanpa penakulan yang bijak, wang juga memimpin langkah kaki kita untuk bertemu ‘sekumpulan’ masalah yang mengundang kepada kehancuran jasmani dan rohani.

Dua bulan yang lalu, seorang wanita tempatan telah didenda sebanyak RM10,000, jika gagal bayar, terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam bulan. Kenapa? Wanita ini telah memberi wang sogokan sebanyak RM1,500 kepada seorang polis sebagai dorongan untuk melepaskan teman lelakinya yang telah ditangkap kerana dipercayai terlibat didalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ini adalah sebahagian kecil contoh yang menunjukkan bahawa wang itu bukanlah jalan bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

NOTA: Bijaklah menggunakan wang. Ketepikan si Rakus b Tamak, jangan sesekali bersekongkol dengan si Tinggi Diri b Sombong dan jangan pula bersetuju dengan apa juga pujuk rayu si Negatif b Jahat. Jika tidak, wang boleh memakan diri tuannya dan membawa kepada kehancuran hidup. Ingatlah Tuhan selalu.

NAMUN TANPA WANG HIDUP BERMASALAH. BETUL? Lupakan sahaja angan-angan untuk memiliki sebuah basikal. Fikirkan dulu bagaimana mendapatkan sebungkus garam, sekampit beras atau sebotol minyak tanah supaya dapur kecil sentiasa berasap. Dan impikan dahulu setin susu untuk si manja. Pendek kata, kita harus berfikir bagaimana mendapatkan sesuatu yang baru.

Pastinya, hati kecil akan menjadi sangat gembira dan bersyukur apabila masih tidak terpingir untuk memperolehi sesuatu yang baru (garam, beras, ect ) setelah yang lama sudah berakhir. Mungkin beban akan menjadi sedikit ringan jika seseorang itu memiliki sebidang tanah untuk diusahakan bagi menjana pendapatan. Tambahan lagi jika anak-anaknya sudah dewasa dan bekerja. Sekurang-kurangnya masih ada tempat untuk bermanja ketika terdesak. Tapi bagaimana pula jika anak-anaknya itu gagal menjalankan kewajipan mereka terhadap orang tua mereka? Ini suatu perkara yang lain.

Kesimpulannya, tanpa wang, keperluan-keperluan asas akan terabai. Pergerakan dan kemampuan kita terbatas.

Disebabkan kesempitan wang, seorang ibu bertindak mencuri setin susu Enfalace berharga RM65.99 daripada Giant Hypermarket di Putatan. Akibat daripada tindakannya itu, dia telah dipenjara selama lima hari oleh Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu setelah mengambilkira rayuan wanita tersebut agar hukumannya dikurangkan.
Cerita benar ini juga memberikan satu contoh bahawa tanpa wang, hidup bermasalah.

NOTA: Bijaklah menggunakan wang yang ada. Belajar bersyukur dengan apa yang kita miliki agar tidak terus dibuai kekecewaan. Berbelanja ketika perlu. Kenalilah si Cekal b Tabah untuk menempuhi hidup dengan lebih baik. Kenali juga si Baik b Halal ketika menelaah rezeki yang ada. Berdoalah juga pada Tuhan yang Maha Pengasih. Dia akan memberikan jalan keluar asalkan kita berusaha lebih keras memperbaiki diri dan keluarga.

No comments:

Post a Comment