Friday, July 10, 2009

Hidup di dunia hanya sekali!

Petang tadi seorang banduan bernama Jamaludin Saripudin, 31, (berbaju putih di dalam gambar)telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Clement Skinner setelah dia didapati bersalah membunuh Haserawati bt Sarior @ Saridi, 9.


Beliau yang mempunyai enam rekod kesalahan lampau (5 kes curi dan 1 kes rogol) didapati bersalah membunuh Haserawati di sebuah kawasan semak, tepi lereng bukit berhampiran dengan Kampung Ratau, Tebobon, Menggatal pada 8 Januari, 2004 di antara jam 7am hingga 8am.

Atas kesalahan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Jamaludin ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat sebanyak 24 kali kerana merogol budak perempuan tersebut.

Semasa perbicaraan (di mana saya turut mengikuti perbicaraan ini dan membuat liputan), bukti menunjukkan bahawa Jamaludin telah mengheret mangsa yang sedang dalam perjalanan ke sekolah, ke dalam kawasan semak tersebut sebelum merogol dan menikamnya beberapa kali. Mangsa mati akibat tikaman yang mengenai lehernya.


Sayang permata bangsa hidupnya berakhir di tali gantung (jika hukuman mati ini dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Yang Di-Pertuan Agong selepas rayuan dibuat)

Wahai anak-anak Marudu, semoga ini akan menjadi satu panduan hidup agar kita lebih waspada dengan apa juga tindakan yang kita lakukan. Jangan sampai memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Hiduplah di dalam kasih.


Teringat akan kata-kata ini “ Bersukarialah hai pemuda, dalam kemudaanmu, biarlah hatimu bersuka pada masa mudamu, dan turutilah keinginan hatimu dan pandangan matamu, tetapi ketahuilah bahawa kerana segala hal ini Tuhan akan membawa engkau ke pengadilan”
Hidup di dunia hanya sekali. Jangan sia-siakan hidup itu!
Nota: Anda boleh baca berita ini secara terperinci melalui suratkhabar2 tempatan esok (July 11, 2009)

Tuesday, July 7, 2009

Permohonan dibenarkan!


Ahli perniagaan Chia Foo Huan, 46, mempunyai sebab untuk tersenyum sebaik sahaja melangkah keluar daripada bangunan Mahkamah Majistret Papar pada pagi hari ini. Permohonan beliau untuk mendapatkan semula barang kemas bernilai RM1.3 juta, wang tunai sebanyak RM18,035 dan beberapa dokumen miliknya yang telah dirampas oleh pihak polis telah dibenarkan oleh Majistret Herlina Muse.


Dalam penghakimannya, Herlina mendapati rampasan yang dibuat oleh pihak polis mengikut Akta Pajakgadai 1972 adalah tidak sah dan mengarahkan agar semua barang rampasan tersebut dikembalikan kepada Chia.

Pihak polis yang bertugas di bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pajak Gadai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah merampas barang kemas, wang dan dokumen tersebut kerana mendakwa Chia menjalankan perniagaan pajakgadai tanpa sebarang lesen.


Rampasan itu dibuat ketika pihak polis menyerbu kedai emas milik Chia bertempat di Jalan Bunga raya, Papar pada 4 Mei, jam 2.30pm.

Pada 22 Jun yang lalu, Chia, melalui peguamnya P. J Perira, telah memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 413 Kanun Acara Jenayah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Magistret Papar.


Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Chia mendakwa perniagaannya telah terjejas akibat daripada rampasan tersebut.

"Rampasan yang dibuat oleh pihak polis terhadap barang kemas, wang tunai dan dokumen daripada kedai saya mempunyai niat jahat," tambah Chia yang memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah supaya semua barang rampasan itu dikembalikan kepadanya.


Gambar di atas menunjukkan Chia (kiri) dan peguamnya Perira berjalan keluar daripada Mahkamah Majistret Papar.

 


 

Thursday, July 2, 2009

Ke Manakah Wang Membawa Aku Pergi?


Memiliki wang yang banyak adalah sebahagian daripada impian hidup kita. Dengan wang setinggi gunung, keinginan hati boleh dipenuhi. Kelmarin beli kereta baru, hari ini beli rumah baru dan esok pula beli tanah berekar-ekar. Setiap hari ada saja yang baru.

Hidup menjadi seronok apabila segala-galanya baru apatah lagi melihat wang yang masih bertimbun-timbun membuat hati memberontak untuk menawan lebih banyak perkara dan benda baru. Pendek kata, wang mempunyai aura yang kuat dan luarbiasa kerana dengannya kita menikmati hidup senang, betul?

Namun hakikatnya, wang itu juga rapuh! Wang kadangkala gagal menampung beban sesuatu masalah kerana WANG BUKANLAH PINTU KELUAR BAGI KEBANYAKAN MASALAH YANG DATANG BERKUNJUNG. Seringkali wang tidak mampu memujuk masalah itu pergi melalui pintu yang terbentang luas kerana ia berhajat untuk bermalam beberapa waktu lagi.
Tanpa penakulan yang bijak, wang juga memimpin langkah kaki kita untuk bertemu ‘sekumpulan’ masalah yang mengundang kepada kehancuran jasmani dan rohani.

Dua bulan yang lalu, seorang wanita tempatan telah didenda sebanyak RM10,000, jika gagal bayar, terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam bulan. Kenapa? Wanita ini telah memberi wang sogokan sebanyak RM1,500 kepada seorang polis sebagai dorongan untuk melepaskan teman lelakinya yang telah ditangkap kerana dipercayai terlibat didalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ini adalah sebahagian kecil contoh yang menunjukkan bahawa wang itu bukanlah jalan bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

NOTA: Bijaklah menggunakan wang. Ketepikan si Rakus b Tamak, jangan sesekali bersekongkol dengan si Tinggi Diri b Sombong dan jangan pula bersetuju dengan apa juga pujuk rayu si Negatif b Jahat. Jika tidak, wang boleh memakan diri tuannya dan membawa kepada kehancuran hidup. Ingatlah Tuhan selalu.

NAMUN TANPA WANG HIDUP BERMASALAH. BETUL? Lupakan sahaja angan-angan untuk memiliki sebuah basikal. Fikirkan dulu bagaimana mendapatkan sebungkus garam, sekampit beras atau sebotol minyak tanah supaya dapur kecil sentiasa berasap. Dan impikan dahulu setin susu untuk si manja. Pendek kata, kita harus berfikir bagaimana mendapatkan sesuatu yang baru.

Pastinya, hati kecil akan menjadi sangat gembira dan bersyukur apabila masih tidak terpingir untuk memperolehi sesuatu yang baru (garam, beras, ect ) setelah yang lama sudah berakhir. Mungkin beban akan menjadi sedikit ringan jika seseorang itu memiliki sebidang tanah untuk diusahakan bagi menjana pendapatan. Tambahan lagi jika anak-anaknya sudah dewasa dan bekerja. Sekurang-kurangnya masih ada tempat untuk bermanja ketika terdesak. Tapi bagaimana pula jika anak-anaknya itu gagal menjalankan kewajipan mereka terhadap orang tua mereka? Ini suatu perkara yang lain.

Kesimpulannya, tanpa wang, keperluan-keperluan asas akan terabai. Pergerakan dan kemampuan kita terbatas.

Disebabkan kesempitan wang, seorang ibu bertindak mencuri setin susu Enfalace berharga RM65.99 daripada Giant Hypermarket di Putatan. Akibat daripada tindakannya itu, dia telah dipenjara selama lima hari oleh Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu setelah mengambilkira rayuan wanita tersebut agar hukumannya dikurangkan.
Cerita benar ini juga memberikan satu contoh bahawa tanpa wang, hidup bermasalah.

NOTA: Bijaklah menggunakan wang yang ada. Belajar bersyukur dengan apa yang kita miliki agar tidak terus dibuai kekecewaan. Berbelanja ketika perlu. Kenalilah si Cekal b Tabah untuk menempuhi hidup dengan lebih baik. Kenali juga si Baik b Halal ketika menelaah rezeki yang ada. Berdoalah juga pada Tuhan yang Maha Pengasih. Dia akan memberikan jalan keluar asalkan kita berusaha lebih keras memperbaiki diri dan keluarga.